Saturday 27 April 2013

Rapid Kuantan Percuma Hingga Hujung Bulan Mei..

alt

KUANTAN, 26 April - Penduduk Kuantan akan terus menikmati perkhidmatan bas RapidKuantan secara percuma sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata perkhidmatan bas percuma itu yang sepatutnya berakhir pada penghujung bulan April lalu diteruskan setelah melihatkan reaksi dan sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan.

"Pada mulanya kita hanya merancang untuk memberi perkhidmatan yang percuma untuk satu bulan saja, tetapi sokongan yang amat menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong ianya untuk melanjutkannya."

"Kriteria utama Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju adalah apabila orang ramai masih memilih untuk pengangkutan awam walaupun mereka masih boleh memiliki kenderaan," katanya ketika membuat lawatan kerja ke Terminal Sentral Kuantan di sini semalam.

Terminal yang berharga RM438 juta dengan keluasan 2,070 kaki persegi itu akan memberikan kemudahan cukup selesa untuk pengguna.

"Terminal ini menyediakan 400 petak letak kereta, 170 untuk motosikal dan 40 untuk teksi, selain ruang tempat menunggu bas berhawa dingin untuk orang ramai," kata Najib merujuk kepada pelancaran terminal itu sejak 1 Disember 2012 yang akan beroperasi secara menyeluruh pada bulan Jun ini.

Beliau berkata, terminal dua tingkat yang mula dibina pada Jun 2011 itu menyediakan 48 kaunter bas dan ia akan menggantikan Terminal Makmur. Terminal berkenaan turut mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) selain kaunter-kaunter khas untuk MPK, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain agensi.

Najib juga berkata perubahan dan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan dibuat secara tersusun dan teratur bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kalau kita mahukan perubahan kita mempunyai pilihan, perubahan itu boleh berlaku dengan menukar kerajaan atau pun mengekalkan kerajaan. Ataupun perubahan itu perlu berlaku dari dalam kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment